KUALA TERENGGANU – Kementerian Sumber Manusia menerusi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) sedang mengkaji memperkenalkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 6 dan tahap 7 yang bersamaan dengan peringkat sarjana dan tahap 8 yang bersamaan peringkat doktor falsafah (PhD).
Timbalan Menterinya, Senator Datuk Maznah Mazlan berkata, langkah memperkenalkan SKM tahap baru itu diambil supaya graduan tidak berhenti belajar setakat peringkat sijil sahaja tetapi terus mengambil peluang untuk meningkatkan profesion dengan meneruskan pengajian sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

“Setakat ini, cadangan berkenaan masih di peringkat kajian dan kita mungkin boleh laksanakan ia dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).

“Dalam pada itu kita juga berbangga dengan pengiktirafan kerajaan terhadap SKM tahap 4 yang sama taraf dengan diploma akademik dalam pembentangan bajet 2010 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Pengumuman ini adalah satu pengiktirafan yang tinggi pada program latihan kemahiran negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri dan menyempurnakan Majlis Graduasi Institut Kemahiran Bestari (IKB) 2009 di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai, di sini, semalam.

Menurutnya, SKM tahap 1, tahap 2 dan tahap 3 yang bersamaan kelulusan peringkat sijil layak untuk membolehkan graduan memasuki sektor pekerjaan manakala SKM tahap 5 melayakkan graduan untuk menikmati skim gaji peringkat diploma lanjutan.
Sumber>>